Sunday, 6 April 2008

Nizar, MB Perak Tipu

Petikan Utusan Malaysia

http://utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0403&pub=utusan_malaysia&sec=dalam%5Fnegeri&pg=dn_10.htm&arc=hive

60,000 penduduk kampung baru dapat geran tanah
IPOH 2 April – Lebih 60,000 penduduk kampung baru di negeri ini akan memperoleh geran pemilikan kekal ke atas tanah yang didiami apabila kerajaan negeri membuat keputusan membenarkan mereka memiliki tanah tersebut.

Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, selain penduduk kampung baru, peluang tersebut turut diberikan kepada mereka yang mendiami kampung tersusun sebagai ‘hadiah’ daripada kerajaan negeri terhadap rakyat yang mengundi ketiga-tiga parti membentuk kerajaan campuran itu pada pilihan raya lalu.

“Ini adalah tawaran terbesar kami kepada rakyat di atas sokongan mereka terhadap kami pada pilihan raya lepas, apatah lagi peluang ini memang ditunggu-tunggu oleh mereka yang sudah lama mendiami tanah tersebut.

‘‘Selama ini, mereka begitu bersabar menduduki tanah terbabit menggunakan geran tanah pemilikan sementara (tol) walaupun sudah tinggal di situ sejak 1948 iaitu sebelum merdeka lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat daripada ketua-ketua jabatan di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurut Mohammad Nizar, keseluruhannya terdapat 134 kampung baru di Perak dengan setiap kampung mempunyai penduduk berjumlah kira-kira 500 orang terdiri daripada 15 peratus Melayu dan India manakala selebihnya Cina.

Beliau berkata, pemberian geran berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan Tanah Negeri Perak dan Kanun Tanah Negara.

Selain geran pemilikan tanah kekal, Mohammad Nizar memberitahu, kerajaan negeri turut membatalkan semua saman yang dikeluarkan untuk kesalahan meletak kereta dan menjaja yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga 17 Mac lalu.

“Orang ramai yang dikenakan saman oleh PBT kerana kesalahan meletak kereta dan menjaja sehingga 17 Mac lalu tidak perlu membayar saman tersebut kerana ia sudah dibatalkan.

“Notis saman tersebut boleh disimpan atau dikembalikan kepada PBT. Lagipun, saman letak kereta misalnya kadang-kadang bukan kesalahan pemandu tetapi kerajaan yang gagal menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi sehingga memaksa orang ramai meletak kereta mereka merata-rata,” katanya.

Mengulas mengenai peletakan jawatan 776 ketua kampung di Perak, semalam, Mohammad Nizar mengesahkan beliau sudah menerima surat rasmi berhubung perletakan jawatan itu daripada Pengerusi Persatuan Ketua-Ketua Kampung Perak.

Katanya, peletakan jawatan tersebut dibuat secara sukarela oleh ketua kampung terbabit dan kerajaan negeri menghormati keputusan mereka.

“Buat masa ini, kita akan memberi panduan kepada penghulu untuk melaksanakan pemilihan semula ketua kampung yang baru berpandukan peraturan Jawatankuasa Keselamatan dan Kerja Kampung (JKKK) yang sedia ada.

“Mana-mana kampung yang tiada ketua kampung, kita akan lantik pemangku ketua kampung yang akan bertanggungjawab melaksanakan proses pemilihan ketua kampung baru dan kita beri hak kepada orang kampung untuk membuat pilihan,” katanya yang menjangkakan proses pemilihan itu akan mengambil masa tiga bulan.
**************************************************************************************************************************
petikan Utusan Malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_10.htm

Beri hak milik kekal langgar Kanun Tanah Negara
Oleh ABDUL RAZAK DIN
IPOH 4 April – Kerajaan negeri campuran di Perak hanya menipu rakyat jika memberi status geran hak pemilikan kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung tersusun kerana ia bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Datuk Ramly Zahari berkata, ini kerana pemberian status berkenaan adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Usahawan dan Pembangunan Koperasi berkata, kuasa kerajaan negeri hanya tertakluk dari segi kutipan hak milik tanah sementara (TOL), bayaran premium dan cukai tanah.

‘‘Pemberian geran hak pemilikan kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung tersusun bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.

‘‘Ini bermakna ia tidak boleh dilaksanakan dan oleh itu, saya menganggap kerajaan negeri cuba menipu rakyat dalam soal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa lebih 60,000 penduduk kampung baru di negeri ini akan memperoleh geran pemilikan kekal ke atas tanah yang didiami mereka.

Mohd. Nizar berkata, selain penduduk kampung baru, peluang tersebut turut diberikan kepada mereka yang mendiami kampung tersusun sebagai ‘hadiah’ daripada kerajaan negeri terhadap rakyat yang mengundi ketiga-tiga parti pembangkang membentuk kerajaan campuran pada pilihan raya lalu.

Beliau memberi alasan selama ini, mereka begitu bersabar menduduki tanah terbabit dan menggunakan geran TOL walaupun sudah tinggal di situ sejak 1948 iaitu sebelum merdeka lagi.
Keseluruhannya terdapat sebanyak 134 kampung baru di Perak dengan setiap kampung mempunyai penduduk kira-kira 500 orang dengan majoriti iaitu hampir 85 peratus kaum Cina manakala selebihnya iaitu kira-kira 15 peratus Melayu dan India.

Beliau berkata, pemberian geran berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan Tanah Negeri Perak dan Kanun Tanah Negara.
Ramly berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah berusaha memastikan penduduk di 134 kampung baru di Perak memiliki suratan hak milik secara sah.
Katanya, usaha ini dilakukan sehingga sanggup memberi diskaun premium beberapa kali bagi penyambungan tempoh hak milik.


‘‘Semasa BN dahulu kita telah berjaya mengeluarkan sebanyak 48,183 hak milik mukim dan 4,672 hak milik berdaftar.

‘‘Kita percaya tidak sampai 10 peratus daripada jumlah lot kampung baru yang belum memiliki suratan hak milik. 10 peratus ini pun sebenarnya hanya tinggal di peringkat untuk membuat pendaftaran sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang pengamal undang-undang berkata, pemberian hak milik kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung tersusun memang bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.

Katanya, jika kerajaan negeri ingin memberikan geran milik kekal kepada penduduk berkenaan, penduduk kampung lain juga patut diberi taraf yang sama.

‘‘Setahu saya untuk memberi geran milik kekal mesti ada syarat istimewanya. Persoalannya kenapa hanya kampung baru dan kampung tersusun yang dapat dan apa kata kampung-kampung lain yang mendapat status hak milik sementara,” katanya.

Beliau berkata, jika diberi status milik kekal, kerajaan tidak mungkin boleh mengutip balik cukai premium atau sebagainya dan tidak boleh mengambil balik tanah tersebut untuk projek pembangunan.

**************************************************************************************************************************
Lembu punya susu, sapi dapat nama.

No comments: